Selasa, 17 November 2009

Orang Asal Tongod Menuntut Hak Tanah Dikembelikan

Tongod: Jawatankuasa Gabungan Penuntut Tanah (JGPT) Tongod terus menuntut kerajaan untuk kembalikan Tanah Adat (NCR) mereka. Tuntutan Tanah Adat ini bermula pada tahun 2000 dan didaftarkan di Makhamah Tinggi Kota Kinabalu dengan diwakili lima plentif yang mewakili JGPT tetapi sehingga sekarang hak orang asal belum dikembalikan oleh kerajaan.

Penduduk kampung yang terlibat dalam JGPT Tongod adalah Kg.Menanam, Kg.Namukon, Kg.Maliau, Kg.Napagang dan Kg.Minunsoh yang mempunyai penduduk lebih kurang 2000 orang yang bersama-sama menuntut NCR.

“Pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan masih lagi tidak memberi respon yang positif tentang masalah ini terutamanya pemilikan Tanah Adat Orang Asal (OA) di Tongod dan mereka seharusnya melihat dan menyelesaikan perkara ini dengan segera sebelum pilihanraya yang akan datang,” kata pengerusi JGPT Tongod, Felix Ukil.














Menurut penduduk, kawasan kediaman mereka ini mempunyai sejarah tersendiri kerana ia pernah menjadi Kawasan Pendamaian antara suku kaum di kawasan sekitar Tongod, dan kini sudah sembilan generasi menduduki kawasan ini.

Namun begitu, sebuah syarikat dari semenanjung Malaysia, iaitu AsiaTic Sdn. Bhd. telah menceroboh masuk pada tahun 2000. Tujuan syarikat adalah untuk meneroka tanah adat penduduk kampung dan seterusnya menanam kelapa sawit secara besar-besaran yang merangkumi kawasan hampir 6,400 hektar. Sejak itu, penduduk telah mula menunjukkan bantahan terhadap pencerobohan ini dan kes ini masih berada di mahkahmah rayuan.

Ujar Felix Ukil lagi: “Kami penduduk kampung dalam kawasan JGPT, Tongod menyokong penuh atas dasar slogan kata yang diungkapkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang sekarang ini iaitu 1Malaysia, Rakyat di Dahulukan Pencapaian Diutamakan.

“Akan tetapi apa yang menjadi tanda tanya kepada kami sebagai Orang Asal, ke manakah sudah slogan yang dilaung-laungkan selama ini?

“Kami orang asal beranggapan slogan tersebut adalah 1Malaysia, Syarikat Didahulukan, Rakyat Diketepikan dan pihak kerajaan harus berfikir apa yang harus diutamakan, sama ada syarikat atau rakyat?”

Tiada ulasan: